|
Pengunaan Ultrasounds Semasa Mengandung
oleh dr r Juhaidah-Pakar O&G Kpmc puchong medical centre

Apakah itu Ultrasound?
Gambar Ultrasound terjadi dari gelombang bunyi yang terhasil dari sebuah mesin melalui tubuh kita, yang terpantul balik dan bertukar menjadi imej di sebuah screen. Ultrasound telah banyak membawa revolusi terhadap bagaimana doktor merawat wanita hamil.
Apa kegunaan ultrasound sebenarnya?
Ultrasound digunakan untuk sebab-sebab yang berbeza pada peringkat-peringkat yang berbeza semasa mengandung. Sebelum 14 minggu, ia digunakan untuk mempastikan samada janin hidup atau tidak, mengesan samada ia kandungan kembar, dan mempastikan kandungan tersebut berada di dalam rahim atau tidak.
Dengan mengukur panjang janin pada jangka waktu ini, tarikh jangka bersalin dapat di pastikan dengan tepat.
Keadaan awal janin tidak normal juga dapat dikenalpasti semasa peringkat ini. Pada 11-14 minggu, ukuran ketebalan kulit pada belakang janin boleh digunakan untuk mengira risiko janin yang mempunyai kromosom tidak normal.
Dari 18-30 minggu , pemeriksaan boleh dilakukan dengan lebih terperinci kerana kebanyakkan organ janin telah terbentuk dengan lengkap dan ultrasound boleh memeriksa samada organ tersebut terbentuk dengan normal atau tidak. Tulang belakang, tengkorak, otak, jantung, paru-paru, buah pingang, tangan dan kaki boleh dikenalpasti.
Dari 30 minggu kehamilan, US selalunya digunakkan untuk mengawasi tumbesaran bayi. Beberapa siri ukurlilit perut bayi akan dicartakan untuk mengetahui samada ia membesar secara normal atau tidak.
Bagi mereka yang mengidap darah tinggi semasa hamil, aliran darah talipusat akan diukur untuk mempastikan fetus tidak mendapat komplikasi dari penyakit tersebut.
Ultrasound juga boleh menntukan kedudukan uri dan sekiranya ia terletak terlalu dekat dengan pintu serviks, wanita mungkin mengalami placenta praevia.
Adakah US boleh menjamin seratus peratus bahawa bayi saya akan dilahirkan normal?
US boleh memberikan impresi yang agak baik tentang kesihatan bayi anda tetapi ia juga tidak sempurna, walaupun dengan pemeriksaan yang cukup rapi, US masih tidak boleh menjamin bahawa bayi anda langsung tidak mempunyai sebarang masalah.
Adakah Ultrasound boleh memudaratkan bayi saya?
Setakat ini tidak ada bukti yang menunjukkan US boleh memudaratkan bayi.
|